GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan arahan baharu pentadbir pihak ketiga (TPA) supaya doktor mempreskripsikan ubat mengikut nama generik mampu membantu mengurangkan kos rawatan pesakit.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, langkah itu penting kerana harga jenama pemula didapati empat kali ganda lebih tinggi berbanding ubat generik berdasarkan Kajian Pemantauan Harga Ubat 2022.
“Dengan preskripsi nama generik seperti ‘paracetamol’, pesakit masih boleh membeli jenama pemula seperti Panadol atau jenama generik lain.
“Perbezaannya hanyalah pada harga, sedangkan keberkesanannya sama.
“Semua ubat generik yang dijual di Malaysia telah disahkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dari aspek keselamatan, keberkesanan dan kualiti melalui kajian biokesetaraan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, langkah itu juga selaras dengan Dasar Ubat Nasional (DUNas) 2012 yang menggariskan preskripsi dan perolehan ubat melalui nama generik perlu diamalkan.
“Dasar ini sebenarnya memberi manfaat besar kepada pengguna kerana dapat membendung inflasi perubatan dan mengawal kos ubat tanpa menjejaskan keputusan klinikal doktor,” katanya. – MalaysiaGazette
















