KUALA LUMPUR – Di sebalik kemelut Akaun Bersumpah (SD) dakwaan menolak Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini membuat kenyataan yang video intim yang tular dahulu dan didakwa membabitkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Sandakan, Sabah itu adalah tulen.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata, kenyataan yang dikeluarkan beliau hari ini berdasarkan maklumat baharu yang diterimanya.
“Selepas konvensyen (Bersatu) tahun lepas, saya terima maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik ke atas video intim yang dikatakan membabitkan Azmin Ali di Sandakan mengesahkan video itu adalah tulen.
“Perkara ini mengubah pendirian saya terhadap Azmin Ali. Saya nyatakan pandangan kepada beberapa orang bahawa selagi isu ‘video songsang’ ini tidak diselesaikan, Azmin tidak layak jadi pemimpin Bersatu,” katanya dalam sidang media hari ini.
Jelasnya, maklumat itu membuatkan beliau menjauhi Azmin dan menyebabkan hubungan beliau dan Setiausaha Agung Bersatu itu dingin.
“Saya berpandangan kalau ia fitnah politik, ya, kita mesti pertahan dan lawan tetapi kalau ia isu moral yang menyimpang maka ia tidak sesuai untuk parti seperti Bersatu.
“Parti lain mungkin boleh terima tetapi bukan Bersatu,” katanya sambil mengakui dirinya sebelum ini pernah menyokong Mohamed Azmin untuk dijadikan sebagai timbalan presiden parti.
Pada 2019, beberapa klip video tular yang didakwa menunjukkan wajah Mohamed Azmin bersama seorang lelaki melakukan perbuatan homoseksual di Hotel Four Points, Sandakan, Sabah.
Beberapa hari selepas itu, Ketua AMK Santubong, Haziq Aziz mengeluarkan rakaman pengakuan dengan menamakan dirinya dan Mohamed Azmin sebagai dua lelaki dalam klip video terbabit.
Mohamed Azmin yang ketika itu Menteri Ekonomi dan Timbalan Presiden PKR menafikan dakwaan itu dan berkata, ia plot untuk menghancurkan kerjaya politiknya.
Sementara itu, CyberSecurity Malaysia memutuskan klip video itu adalah tulen namun wajah individu terbabit tidak dapat dilakukan kerana resolusi rakaman yang rendah dan kabur. – MalaysiaGazette
















