KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan akan berjumpa dengan presiden parti bagi menjelaskan isu dakwaan wujud Akaun Bersumpah (SD).
“Satu pertemuan antara saya dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu depan,” katanya.
Jelas Wan Saiful, pertemuan itu dibuat bagi menjelaskan situasi sebenar mengenai dakwaan wujud SD yang didakwa ditandatangani oleh 120 ketua bahagian bagi menjatuhkan Muhyiddin.
“Saya mohon sangat untuk berjumpa dengan Muhyiddin dan bawak SD (dalam mesyuarat) tapi Muhyiddin kata tidak apa, nanti saya telefon.
“Rabu akan datang saya akan jumpa dengan Muhyiddin. Setakat yang saya tahu Muhyiddin belum baca SD sebenar sebab semuanya saya pegang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Hadir sama adalah Ketua Bahagian Bersatu Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali dan Ketua Bahagian Bersatu Puchong, Shukor Mustafa.
Ditanya adakah SD yang disebut oleh Wan Saiful sama dengan SD tular yang didakwa untuk menjatuhkan Muhyiddin, Wan Saiful berkata, versi tersebut amat berbeza dengan SD yang berada di tangannya.
“Ada satu SD yang tular di mana dokumen yang ditandatangani oleh 120 ketua bahagian dan saya boleh nyatakan SD yang viral itu tidak sama dengan SD sebenar.
“Dalam dunia politik, kita tidak yakin dengan beberapa individu jadi saya jelaskan kepada (Datuk Seri) Hamzah Zainudin bahawa saya tidak tahu nak jumpa siapa di Negeri Sembilan. Hamzah beritahu saya, jumpa YB Mohamad Hanifah Abu Baker (Ketua Pembangkang di negeri terbabit) sebab dia adalah orang yang rasional dan dia boleh bantu.
“Saya sebenarnya tidak berapa percaya kepada dia sebab berlaku beberapa peristiwa yang depan kita dia cakap lain, jadi saya fikir macam mana saya nak buat. Saya sediakan satu teks sebagaimana yang viral.
“Tujuan saya, kalau dia orang parti, dia patut tolak dan tidak tandatangan. Hanifah kata, tidak ada masalah untuk dia tandatangan dan boleh bawa lima tandatangan lain,” katanya.
Wan Saiful bagaimanapun mengesahkan bahawa itu adalah versi lain yang dipegang oleh Hanifah.
“Walaupun dia padamkan nama bahagian, yang viral itu adalah bahagian Jempol. Jadi itu yang disebarkan dan bawa ke Muhyiddin. Itu jawapan mengapa ada versi yang berbeza,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, Wan Saiful akan berusaha menjelaskan bahawa SD yang tular adalah palsu dan berbeza dengan yang sebenar.
“Kita akan jelaskan kepada Muhyiddin dan kebijaksanaan dalam menilai hal ini,” katanya.
Wan Saiful hari ini juga menjelaskan, dokumen yang ditandatangani oleh 120 Ketua Bahagian Bersatu bukan untuk menjatuhkan presiden tetapi untuk meminta supaya jangan bawa usul yang tidak sesuai semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).
Jelas Wan Saiful lagi, ahli-ahli Bersatu boleh melihat kesan daripada usul berkenaan di mana padanya Bersatu boleh hilang kerusi Pengerusi PN dan boleh juga hilang peluang untuk menaikkan pemimpin Bersatu sebagai calon Perdana Menteri.
“Kalau berlaku, dua kehilangan ini adalah disebabkan oleh usul di PAT. Naratif songsang bahawa kami mahu menjatuhkan presiden adalah adalah naratif palsu.
“Naratif songsang ini telah menyebabkan parti kita bertelagah sesama sendiri, disebarkan secara tersusun melalui jentera black ops dan diburukkan lagi oleh Tun Faisal (Ismail) yang menjadi batu api,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















