JOHOR BAHRU – Seramai lima pengawal keselamatan ditempatkan di kediaman penginapan sementara penuntut Johor di Nasr City Kaherah, Mesir selepas dipecah masuk awal pagi kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, langkah segera kerajaan negeri itu diambil bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar wanita di kediaman tersebut terjamin.
“Bangunan yang dipecah masuk adalah bangunan penginapan sementara kerana bangunan milik kerajaan negeri yang sepatutnya didiami mereka sedang dalam proses pengubahsuaian untuk dinaik taraf.
“Kami juga ingin berkongsi rasa sedih apabila bangunan sementara rumah pelajar Johor yang menempatkan anak-anak kami yang baru dihantar ke Mesir telah dicerobohkan dua malam lalu.
“Pertama yang ingin kami ucapkan ialah ucapan takziah kepada semua anak-anak kerana mereka telah kehilangan wang tunai. Namun syukur tidak melibatkan kecederaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan 100 tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada), di sini, hari ini.
Katanya, sejurus dimaklumkan kejadian pecah masuk bangunan sementara pelajar Johor, pihaknya segera berunding dengan pemilik bangunan dan melantik lima pengawal keselamatan untuk menjaga bangunan pada keesokkan harinya.
“Walaupun itu bukan bangunan kami. Tetapi ini adalah komitmen kerajaan negeri bagi meringankan kebimbangan ibu bapa, termasuk pelajar. Kita berdoa agar perkara yang sama tidak berulang,” katanya.
Menurut Mohd Fared, pemilik bangunan terbabit juga telah membaiki tingkap dan gril yang diumpil dalam kejadian pecah masuk bangunan itu.
Katanya, memaklumkan bangunan milik kerajaan negeri yang dalam proses pengubahsuaian akan siap akhir tahun ini.
“Selepas siap, kita akan menempatkan kesemua pelajar perempuan Johor yang ditempatkan di bangunan sementara sewa ini ke bangunan milik kerajaan negeri yang sememangnya mempunyai pengawal keselamatan.
“Pihak berkuasa tempatan di negara itu telah menjalankan siasatan dan kita akan berikan kerjasama penuh,”
Semalam, beliau memaklumkan kediaman sementara pelajar Johor di Mesir itu dipecah masuk pukul 5 pagi ketika penghuninya sedang nyenyak tidur. – MalaysiaGazette
















