KENYATAAN Ketua AMK Wilayah Persekutuan, Asheeq Ali Sethi Alivi berkenaan sidang akhbar Wan Saiful Wan Jan semalam.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil serius pendedahan yang dibuat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung video tular yang didakwa melibatkan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, PDRM perlu membuka semula siasatan berhubung video tersebut di samping mengambil keterangan Wan Saiful berhubung sumber yang didakwa beliau.

“Pendedahan terbaharu ini secara langsung menyentuh hasil siasatan PDRM ke atas video tersebut pada tahun 2019.

“PDRM harus mengenal pasti sumber yang dirujuk oleh Wan Saiful yang mengesahkan siasatan forensik ke atas video tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sekiranya dakwaan Wan Saiful tersebut benar, maka AMK Wilayah Persekutuan menggesa PDRM mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pihak-pihak yang terlibat.

Semalam, Wan Saiful mendakwa Mohamed Azmin tidak layak untuk menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi berhubung video tular yang didakwa membabitkan dirinya pada 2019 belum diselesaikan.

Menurut Wan Saiful, meskipun mengakui menerima pelantikan Mohamed Azmin sebagai Setiausaha Agung Bersatu, namun situasi itu berubah selepas beliau menerima maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik terhadap video membabitkan Mohamed Azmin di Sandakan tersebut sebagai tulen.

Klip video tular didakwa membabitkan Mohamed Azmin yang ketika itu Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebar pada 2019 dipercayai diambil dari sebuah hotel di Sandakan, Sabah.

Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas mengumumkan tiada pertuduhan akan dibuat daripada video intim kontroversi tersebut selain memaklumkan pakar forensik Amerika Syarikat (AS) gagal mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast