SEPANG – Seorang lelaki warga Kemboja mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat dan kekerasan terhadap dua petugas syarikat penerbangan pada 28 September lalu.
Tertuduh, Lin Weida, 41, merupakan ejen pelancongan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pramugari, Yuszai Yusof, 43, dengan niat untuk menimbulkan kemarahan dan menganggu kenteraman.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam penerbangan dari Hong Kong ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 5.20 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100.
Weida juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Sheikh Muhammad Syafiq Sh. Khalid, pegawai keselamatan Batik Air di bangunan satelite KLIA kira-kira 7.50 malam.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-dua sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim tidak menawarkan jaminan dan memohon supaya hukuman terhadap Lin diputuskan di Mahkamah Majistret esok kerana kes itu berada di bawah bidang kuasanya. – MalaysiaGazette
















