SHAH ALAM – Selepas empat tahun meringkuk dalam penjara, seorang lelaki akhirnya terlepas tali gantung apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu terhadap tertuduh kedua, Sukhdave Singh Jesvir Singh, 24, tanpa memberikan alasan panjang, hanya menyebut bahawa tertuduh dilepaskan dan dibebaskan.
Keputusan itu disambut penuh kelegaan oleh ahli keluarga yang berada di galeri awam.
Sukhdave sebelum ini didakwa bersama seorang lagi lelaki, Jayaprakash Arumugam, berhubung penemuan 118.1 gram methamphetamine di sebuah unit Pangsapuri Waja, Cheras, pada 20 Jun 2021.
Tiga individu lain yang turut ditahan ketika serbuan tidak didakwa.
Peguam bela Sukhdave, Mathan Anandaram berkata, pihaknya sejak awal mengemukakan notis alibi yang menegaskan anak guamnya tidak berada di lokasi semasa tangkapan dilakukan.
“Alibi yang kami kemukakan jelas menunjukkan tertuduh kedua tidak pernah berada di tempat kejadian ketika tangkapan dibuat. Anak guam saya hanya tiba selepas polis selesai membuat serbuan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Mathan menambah, keputusan itu memberi kelegaan besar kepada anak guamnya yang telah melalui detik mencabar sepanjang empat tahun ditahan.
“Anak guam saya amat bersyukur dengan keputusan ini. Sebagai seorang yang masih muda, kehidupannya hampir musnah kerana pertuduhan ini.
“Pengajaran yang beliau mahu sampaikan ialah kita perlu berhati-hati dengan siapa kita berkawan kerana ia boleh membawa akibat besar,” ujarnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tuan Sharul Ekhsan, manakala kes terhadap tertuduh pertama, Jayaprakash, masih berjalan di mahkamah sama. -MalaysiaGazette















