Donald Trump . foto AFP photo AFP

KUALA LUMPUR – Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama pemimpin dunia lain ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bukan sekadar acara diplomasi biasa.

Ia sebaliknya bukti pengiktirafan antarabangsa terhadap ASEAN dan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusinya.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menjelaskan, perkara itu perlu difahami dalam konteks lebih luas kerana ia tidak membawa maksud pengiktirafan terhadap dasar peribadi mana-mana pemimpin.

“Kehadiran Presiden AS, Donald Trump serta pemimpin dunia lain ke Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada mandat diplomasi yang diamanahkan kepada Malaysia.

“Ia bukan soal pengiktirafan terhadap dasar peribadi mana-mana pemimpin tetapi suatu pengiktirafan kepada ASEAN dan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi,” katanya kenyataan taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Beliau menegaskan, Kepengerusian ASEAN yang dipegang Malaysia adalah tanggungjawab besar yang hanya datang sekali setiap dekad sebelum diserahkan kepada negara lain.

“Justeru kita wajib menggunakan kesempatan ini untuk memimpin dengan sebaik mungkin membawa suara ASEAN ke peringkat global,” ujarnya.

Menurut beliau, ASEAN bukan sahaja sebuah perkumpulan serantau tetapi sebuah komuniti strategik yang menjalin hubungan erat dengan kuasa besar dunia melalui pelbagai platform tetap seperti ASEAN–Amerika Syarikat, ASEAN–China, ASEAN–Jepun, ASEAN–Korea, ASEAN–Australia, ASEAN–GCC, ASEAN–PBB dan Sidang Kemuncak Asia Timur.

Pejabat Perdana Menteri turut mengambil maklum wujudnya pandangan segelintir pihak yang menuntut jemputan kepada Trump ditarik balik atas alasan pandangan beliau mengenai isu Palestin.

“Pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak pernah berubah – ia jelas, tegas, dan konsisten sejak dahulu. Perdana Menteri sendiri adalah antara suara paling lantang di dunia dalam membela Gaza, mengecam kekejaman Israel dan mengetuai suara moral umat Islam di pentas antarabangsa,” tegasnya.

Namun begitu, katanya, menolak kedatangan Trump ke ASEAN bukan jalan penyelesaian kerana prinsip diplomasi menuntut kebenaran disuarakan secara berdepan.

“Dengan cara ini, Malaysia bukan sahaja menzahirkan solidariti kepada Gaza tetapi juga menunjukkan kebijaksanaan sebagai tuan rumah yang berani, tegas dalam prinsip dan matang dalam diplomasi,” katanya lagi.

Beliau menambah, Malaysia mahu Sidang Kemuncak ASEAN kali ini tidak hanya tertumpu kepada isu geopolitik semata-mata sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda ekonomi bersama, menarik pelaburan strategik, memperluas perdagangan dan mempercepat integrasi rantau ini sebagai kuasa ekonomi dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast