Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery ketika melawat Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di MAPIM MALAYSIA Central Warehouse, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 SEPTEMBER 2025

SEPANG – Malaysia akan memulakan bantahan sekeras-kerasnya sekiranya kapal Misi Global Sumud Flotila (GSF) dipintas atau diganggu gugat oleh rejiim Zionis  di zon merah menuju persisiran pantai Gaza.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau akan menghubungi beberapa rakan diplomatiknya berhubung usul pendamaian Gaza sekiranya sebarang kemungkinan berlaku dalam misi Flotilla.

“Kita akan memulakan bantahan secara yang keras menyeluruh dan saya akan menghubungi sedaya upaya rakan (diplomatik) termasuk negara-negara  yang telah kemukakan usul baru ini (pendamaian Gaza)

“Yang penting Itali, Sepanyol dan Turkiye telah ke depan serta hubungan dengan negara China juga dan kita lihat keupayaan ikhtiar yang dikembangkan oleh Perancis dan Arab Saudi,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas selesai sesi video bersama peserta Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotila ketika mengadakan lawatan ke Sumud Nusantara Command Centre di MAPIM Malaysia Central Warehouse, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 SEPTEMBER 2025

Terdahulu, beliau hadir meninjau Sumud Nusantara Command Center (SNCC) dan menerima taklimat perkembangan misi GSF daripada Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby.

Tambah Anwar, pertemuan bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump nanti amat penting bagi memastikan mesej dan usaha digerakan Malaysia dalam rundingan mencapai penyelesaian yang adil.

“Sebab itu penting pertemuan dengan Presiden (AS) Donald Trump walaupun di sini ada sedikit kontroversi tapi mesti ada orang sampaikan dan ada rakan-rakan lain sampaikan.

“Saya fikir saya juga bertanggungjawab untuk sampaikan pandangan kita tentang penyelesaian yang adil untuk rakyat Palestin.

“Seperti kita minta yang awal, hentikan serangan ganas ke atas Gaza, jamin kemerdekaan mereka sebagai negara yang berdaulat, kemudian segerakan bantuan kemanusiaan, perubatan,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery ketika melawat Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di MAPIM MALAYSIA Central Warehouse, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 SEPTEMBER 2025

Anwar juga  akan membentangkan kerangka perdamaian terbaharu yang dikemukakan AS bagi Gaza kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan.

Beliau berkata, kebanyakan negara jiran Arab telah menyatakan persetujuan bahawa keutamaan adalah menghentikan keganasan, menjamin kemerdekaan Palestin termasuk Gaza dan mempercepatkan bantuan kemanusiaan.

“Saya tidak fikir kerangka persetujuan itu akan memenuhi hasrat kita terutama dalam mempertahankan prinsip keadilan bagi rakyat Palestin.

“Tetapi sebagai suatu permulaan, ia sangat bermakna iaitu hentikan keganasan dan penjajahan ke atas bumi Palestin dan bantuan kemanusiaan yang sangat mendesak mesti disegerakan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery (kiri) mengadakan sidang video bersama peserta Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotila ketika mengadakan lawatan ke Sumud Nusantara Command Centre di MAPIM Malaysia Central Warehouse, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 SEPTEMBER 2025

Dalam pada itu, Anwar turut membuat sesi panggilan video bersama 34 delegasi Malaysia yang mengikuti Misi GSF yang kini memasuki hari ke-30 dan memberi kata-kata semangat kepada mereka.

“Kita kagum dengan semangat anda semua dan insya-Allah kerajaan akan terus membantu serta memastikan kebajikan ahli keluarga semua delegasi terus terbela.

“Anda semua telah memberikan suntikan semangat luar biasa dan bakal tercatat sebagai sejarah besar dalam usaha menegakkan keadilan serta membela nasib rakyat Palestin,” jelasnya.

Beliau juga menambah, penyertaan delegasi Malaysia memberi mesej jelas bahawa solidariti terhadap Palestin bukan sahaja hadir di medan diplomasi tetapi turut dizahirkan melalui pengorbanan di lapangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast