Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik usaha Presiden Donald J. Trump untuk menamatkan perang oleh Israel ke
atas Gaza melalui pelan komprehensif yang telah diumumkan pada 29 September 2025 di Washington, DC.

Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri berkata, pelan tersebut yang telah sekian lama dinantikan oleh masyarakat antarabangsa merupakan suatu langkah penting ke arah menamatkan dengan segera jenayah genosid, kebuluran dan kemusnahan di
Gaza.

Malaysia berharap agar pelan ini dapat dilaksanakan sebaiknya, seterusnya membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan, pengunduran tentera Israel, kepulangan pelarian dan rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa, serta pembinaan semula Gaza.

Malaysia menekankan, pelaksanaan pelan ini hendaklah sejajar dengan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan resolusi-resolusinya yang berkaitan, di samping memastikan perlindungan terhadap rakyat Palestin serta menangani isu-isu keadilan dan akauntabiliti.

Aspek-aspek ini amat penting bagi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan, keselamatan dan kestabilan kepada semua pihak di rantau berkenaan, tambahnya.

Malah, katanya, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan anggota masyarakat antarabangsa dalam menyokong usaha murni untuk mencapai keamanan di Gaza, memastikan pengintegrasian Gaza dengan Tebing Barat serta merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast