Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan 11 mangsa skim pelaburan kripto akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Khamis ini.

Ia bagi mendesak siasatan semula skandal yang menyebabkan kerugian mencecah RM82 juta.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kes berkenaan sebelum ini telah diklasifikasi sebagai No Further Action (NFA) oleh mangsa di IPD Sentul walaupun pihaknya menyerahkan dokumen rasmi termasuk aduan daripada lebih 200 mangsa kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

“Syarikat ini turut beroperasi di negara lain seperti Taiwan, China dan Kanada,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau menjelaskan, skim berkenaan dipercayai dikendalikan sebuah syarikat berpangkalan di Seychelles, namun aktiviti pelaburan dijalankan menggunakan akaun bank tempatan dan ejen pemasaran rakyat Malaysia.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah mengutip deposit pelaburan melalui akaun perantara tempatan selain pertukaran mata wang kripto USDT secara peer-to-peer (P2P).

“Sebaik pelaburan dibuat, peserta diberi akses aplikasi dagangan seperti cTrader dan MT4 (MetaTrader 4) untuk memantau kononnya aktiviti perdagangan. Ramai yang menyertai selepas diyakinkan boleh membuat pengeluaran pada bila-bila masa serta dijanjikan pulangan sehingga tujuh peratus sebulan,” katanya.

Namun, katanya, masalah mula timbul apabila dana pelabur dalam bentuk USDT ditukar tanpa kebenaran kepada pelbagai syiling digital lain, sehingga mereka gagal membuat pengeluaran.

“Kes ini jelas berunsur penipuan terancang yang perlu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kami mohon pihak polis membuka semula kertas siasatan kerana ia bukan melibatkan seorang dua, tetapi ratusan mangsa di seluruh negara,” katanya.

Hishamuddin berkata, MHO komited memperjuangkan nasib mangsa agar mereka mendapat pembelaan sewajarnya, selain memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap dalang yang terlibat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast