WASHINGTON — Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Isnin memohon maaf kepada rakan sejawatnya dari Qatar, Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim al-Thani, berhubung serangan Israel di Qatar pada 9 September lalu yang menyasarkan mesyuarat kepimpinan politik kumpulan Hamas.
Walaupun serangan itu gagal membunuh pemimpin utama Hamas yang menjadi sasaran, ia telah meragut nyawa beberapa anggota bawahan kumpulan itu, selain seorang pengawal Qatar.
Susulan serangan tersebut, Qatar yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam rundingan antara Israel dan Hamas ketika perang di Gaza sedang berlangsung, enggan lagi bertindak sebagai pengantara.
Permohonan maaf itu dibuat dalam satu panggilan telefon dari Pejabat Oval yang diatur dan dihadiri Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, semasa pertemuannya dengan Netanyahu.
Tidak lama selepas panggilan telefon itu, Rumah Putih mengumumkan pelan untuk menamatkan perang. Trump, dalam sidang media bersama Netanyahu, kemudian berkata Israel dan dunia Arab telah menerima pelan tersebut.
Dalam panggilan itu, Netanyahu “menzahirkan penyesalan mendalam bahawa serangan peluru berpandu Israel ke atas sasaran Hamas di Qatar secara tidak sengaja membunuh seorang anggota tentera Qatar,” menurut kenyataan rasmi Rumah Putih.
Perdana Menteri Israel itu “turut menyatakan kekesalan bahawa, dalam usaha menyasarkan kepimpinan Hamas ketika rundingan tebusan, Israel telah melanggar kedaulatan Qatar, dan menegaskan bahawa Israel tidak akan melakukan serangan sedemikian lagi pada masa hadapan,” tambah kenyataan itu.
Dalam panggilan tersebut, Perdana Menteri Qatar “menyambut baik jaminan itu, sambil menekankan kesediaan Qatar untuk terus menyumbang secara bermakna kepada keselamatan dan kestabilan serantau,” menurut kenyataan AS, sambil menyebut Netanyahu “menyatakan komitmen yang sama.”
Satu kenyataan Qatar, yang dikeluarkan tidak lama selepas itu, mengesahkan panggilan tersebut dan menyatakan bahawa Thani menegaskan penolakan Qatar terhadap sebarang pelanggaran kedaulatannya, sambil menyatakan kesediaan Doha untuk terus terlibat dalam usaha menamatkan perang di Genting Gaza di bawah kerangka inisiatif Presiden AS.
Kenyataan yang dikeluarkan pejabat Netanyahu pula menyebut beliau memberitahu Al Thani bahawa “Israel tidak mempunyai rancangan untuk sekali lagi melanggar kedaulatan anda pada masa hadapan, dan saya telah memberi komitmen itu kepada presiden.”
“Saya ingin memberi jaminan bahawa Israel menyasarkan Hamas, bukan rakyat Qatar,” menurut kenyataan yang memetik kata-kata Netanyahu.
Netanyahu memberitahu Al Thani bahawa beliau sedar “kepimpinan anda mempunyai rungutan terhadap Israel dan Israel juga mempunyai rungutan terhadap Qatar, daripada sokongan kepada Ikhwanul Muslimin, sehinggalah kepada bagaimana Israel digambarkan di Al Jazeera serta sokongan terhadap sentimen anti-Israel di kampus-kampus kolej.”
Beliau menambah bahawa beliau mengalu-alukan inisiatif Trump untuk menubuhkan forum tiga hala bagi menangani “isu-isu yang masih belum selesai,” menurut kenyataan Israel.
Permohonan maaf Netanyahu itu menandakan perubahan besar daripada pendiriannya sebelum ini yang berulang kali menegaskan bahawa Israel berada dalam haknya untuk menyerang pemimpin Hamas, termasuk di ibu negara Qatar.
Sehingga Ahad lalu, ketika ditemu bual Fox News, Netanyahu menyamakan serangan di Doha itu dengan operasi AS di Pakistan yang membunuh Osama Bin Laden, sambil menambah bahawa “mana-mana negara yang menghormati diri tidak boleh memberi laluan mudah kepada pengganas.”
Netanyahu dan Thani turut membincangkan perkara ini dalam panggilan telefon tersebut, kata Rumah Putih. Negara Teluk itu, yang telah lama menjadi tuan rumah kepada pemimpin politik Hamas, mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan pengganas itu. – Agensi















