BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki nyaris maut selepas lori dipandunya terbakar di Jalan Junjung Kampung Sepulau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11.55 pagi itu, mangsa, Sunizam Ismail, 54, berjaya menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12 tengah hari sebelum sebuah jentera bersama sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap bergegas ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan sebuah lori jenis Hino 700 dengan anggaran kemusnahan 70 peratus pada bahagian kepala lori.
“Mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, kebakaran dipadam pada pukul 12.36 tengah hari dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.14 petang.
“Kita turut memohon bantuan Unit Forensik Kebakaran (FIO) untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette
















