Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Subsidi bersasar BUDI Madani RON95 (BUDI95) terbukti meringankan beban rakyat apabila pengguna mula merasai penjimatan kos bahan api sejak ia dilaksanakan.

Inisiatif yang diperkenalkan kerajaan itu bukan sahaja memastikan golongan sasar mendapat manfaat secara langsung, malah disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Rata-rata pengguna mengakui BUDI95 memberi ruang kepada mereka menguruskan perbelanjaan harian dengan lebih baik, selain mengurangkan tekanan kos sara hidup.

 

Muhammad Sabir Suhaimi.

Seorang pengguna, Muhammad Sabir Suhaimi, 37, berkata penjimatan yang diterima walaupun kecil tetap bermakna, kerana menggunakan kenderaan setiap hari untuk berulang-alik ke tempat kerja dan menguruskan keluarga.

“Biasanya saya isi minyak dalam RM5 atau RM6 setiap hari. Alhamdulillah, bila isi jumlah yang sama sekarang, dapat lebih sedikit berbanding sebelum ini. Walaupun perbezaannya hanya beberapa sen, bila dikira untuk sebulan jumlahnya tetap terasa.

“Sedikit sebanyak ia membantu mengurangkan beban belanja harian saya, lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Bagi saya, apa sahaja inisiatif yang boleh membantu rakyat, walaupun kecil, tetap dihargai,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mohd Fairuz Thalib.

Bagi Mohd Fairuz Mohd Thalib, 43, pula, penjimatan yang diperoleh walaupun sederhana mampu mengurangkan kos sara hidup, khususnya bagi golongan yang menggunakan kereta setiap hari untuk bekerja.

“Saya isi sekitar RM15 dan Alhamdulillah dapat lebih berbanding sebelum ini iaitu hampir RM19. Saya sebagai seseorang yang guna kereta sebagai kenderaan harian, penjimatan ini memang terasa.

“Kalau dikira sebulan, ia boleh membantu untuk tampung keperluan lain juga. Kadang-kadang orang rasa jumlahnya kecil, tetapi bagi mereka yang betul-betul bergantung kepada kereta untuk bergerak, ia sangat membantu.

“Apa-apa bantuan walaupun kecil tetap bermanfaat untuk orang ramai,” ujarnya dengan penuh rasa syukur.

Mohd Abdul Azis Hashim.

Sementara itu, Mohd Abd Azis Hashim, 63, yang menikmati inisiatif BUDI95 mengakui langkah itu memberi kelegaan kepada golongan pesara sepertinya yang turut berdepan dengan kos sara hidup tinggi.

“Ya, memang membantu. Tadi saya isi RM65 dan dapat lebih sedikit berbanding biasa. Ini kali pertama saya cuba, dan saya nampak ada kelebihannya.

“Kalau dikira secara bulanan, penjimatan itu boleh digunakan untuk belanja dapur atau keperluan lain. Sebagai orang yang sudah bersara, inisiatif sebegini amat membantu kerana pendapatan kami bukan besar.

“Saya rasa ia satu langkah yang baik untuk rakyat, dan semoga ia berterusan,” katanya dengan penuh.

BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 September bermula dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 pada Ahad lalu.

Sebanyak 16 juta rakyat negara ini yang layak kini menikmati manfaat BUDI95 dengan harga petrol RON95 ditetapkan pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter sebelum ini, selain setiap individu diberi kelayakan sehingga 300 liter sebulan.

BUDI95 menawarkan kaedah transaksi mudah kerana hanya memerlukan MyKad atau lesen memandu sah untuk pengesahan kelayakan secara automatik, manakala pembayaran boleh dibuat menggunakan aplikasi dompet digital pilihan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast