Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang suri rumah di Bentong kerugian lebih RM200,000 selepas terpedaya sindiket pelaburan atas talian.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mangsa mulanya dihubungi seorang individu pada 15 September lepas menawarkan peluang pelaburan menggunakan nama syarikat “QCM Trading”.

Beliau berkata, mangsa yang dijanjikan peluang pelaburan dengan kadar pulangan yang tinggi seterusnya terpedaya dengan tawaran tersebut dan memberikan maklumat peribadinya kepada suspek.

“Mangsa diarahkan untuk memuat turun aplikasi mudah alih melalui pautan yang dihantar oleh suspek.

“Selepas itu, mangsa membuat 12 transaksi kewangan daripada simpanan peribadi mangsa serta simpanan peninggalan mendiang suami ke dalam tujuh akaun bank berbeza berjumlah RM223,000.00,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob (kiri), Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman (tengah) dan Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin (kiri).

Yahaya berkata, mangsa hanya menyedari ditipu setelah dimaklumkan oleh pihak bank bahawa akaun penerima adalah akaun yang dikenal pasti terlibat dengan sindiket penipuan.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, khususnya yang dipromosikan melalui media sosial.

“Sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.

“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast