Zhimin Qian
LONDON – Seorang warganegara China telah disabitkan kesalahan selepas siasatan penipuan antarabangsa membawa kepada rampasan mata wang kripto terbesar di dunia setakat ini.
Polis Metropolitan berkata, mereka berjaya merampas 61,000 bitcoin bernilai lebih £5 bilion (AS$6.7 bilion) pada harga semasa.
Zhimin Qian, juga dikenali sebagai Yadi Zhang, mengaku bersalah pada Isnin di Mahkamah Mahkota Southwark atas kesalahan memperoleh dan memiliki mata wang kripto secara haram.
Antara tahun 2014 hingga 2017, Qian mengetuai skim penipuan besar-besaran di China dengan memperdaya lebih 128,000 mangsa dan menyalurkan wang hasil penipuan itu ke dalam aset bitcoin, menurut kenyataan Polis Metropolitan.
Pengakuan bersalah itu dibuat selepas tujuh tahun siasatan global terhadap rangkaian pengubahan wang haram, yang bermula dengan maklumat mengenai pemindahan aset jenayah.
Detektif Sarjan Isabella Grotto, yang mengetuai siasatan berkata, Qian berjaya mengelak daripada tindakan undang-undang selama lima tahun sebelum ditahan melalui kerjasama pelbagai bidang kuasa.
Polis berkata, Qian melarikan diri dari China dengan menggunakan dokumen palsu sebelum memasuki United Kingdom dan dia cuba membersihkan wang yang dicuri dengan membeli hartanah.
“Dengan pengakuan bersalah ini, Zhang berharap dapat memberikan sedikit kelegaan kepada pelabur yang telah menunggu pampasan sejak 2017, dan meyakinkan mereka  kenaikan nilai mata wang kripto telah menghasilkan dana yang mencukupi untuk menampung kerugian mereka,” kata peguamnya, Roger Sahota dari Berkeley Square Solicitors.
Namun, terdapat laporan bahawa kerajaan UK mungkin cuba mengekalkan wang rampasan tersebut.
Rakan Qian, Jian Wen, seorang bekas pekerja restoran makanan Cina, telah dijatuhi hukuman penjara enam tahun lapan bulan tahun lalu kerana terlibat dalam operasi pengubahan wang haram itu.
Wen, 44, berpindah dari bilik di atas restoran kepada rumah sewa mewah bernilai jutaan pound di London Utara pada 2017, selain membeli dua hartanah di Dubai bernilai lebih £500,000, menurut Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS). – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast