KUALA LUMPUR – Caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia akan berkuatkuasa bermula gaji bulan Oktober 2025 iaitu bagi caruman bulan November 2025.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata, dasar baharu itu menetapkan kadar caruman bagi pekerja dan majikan masing-masing pada dua peratus daripada gaji bulanan.
Peluasan liputan caruman itu merangkumi semua pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia (tidak termasuk orang gaji domestik) yang mempunyai pasport dan pas kerja yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pelaksanaan caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia merupakan satu langkah penting bagi KWSP dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial negara.
“Langkah ini menangani jurang dalam liputan keselamatan sosial dengan menyokong amalan pasaran buruh yang lebih adil serta menyediakan akses kepada simpanan persaraan untuk pekerja daripada semua kewarganegaraan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, sejak beberapa bulan lalu, KWSP telah menjalankan pelbagai sesi libat urus secara menyeluruh dengan kementerian dan agensi kerajaan, wakil majikan dan pekerja asing, pertubuhan bukan kerajaan, serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan pelaksanaan dasar baharu ini berjalan lancar.
Bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan, KWSP juga bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk meningkatkan integrasi data dan sistem.
Kerjasama itu membolehkan perkongsian maklumat secara selamat melibatkan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian melalui infrastruktur sedia ada dan prosedur yang telah dipersetujui.
Sehubungan itu, KWSP menasihati majikan yang belum berdaftar dengannya untuk mendaftarkan syarikat bagi memastikan pematuhan dan peralihan yang lancar.
Pendaftaran majikan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi KWSP atau di mana-mana pejabat KWSP di seluruh negara.
Pendaftaran pekerja bukan warganegara Malaysia sebagai ahli KWSP yang melibatkan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian akan dilaksanakan secara automatik tanpa perlu hadir ke pejabat KWSP.
Majikan boleh menyemak secara dalam talian melalui i-Akaun (Majikan) untuk memastikan pendaftaran dilaksanakan dengan tepat. Bagi pemegang pas lain, pendaftaran dan pengemaskinian maklumat boleh dilaksanakan melalui pejabat KWSP seperti biasa.
Pekerja disarankan melengkapkan pendaftaran sebagai ahli KWSP dengan membuat pengemaskinian rekod cap ibu jari mulai Januari 2026 di pejabat KWSP berhampiran.
Majikan dan pihak berkepentingan boleh merujuk kepada halaman khas di laman web KWSP, Caruman Untuk Pekerja Bukan Warganegara Malaysia – KWSP Malaysia untuk maklumat lanjut. -MalaysiaGazette















