JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan memperluas penggunaan aplikasi telefon pintar Saifon yang berfungsi memberikan amaran awal banjir.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, perluasan penggunaan aplikasi tersebut dilakukan di kawasan lain secara berperingkat.
Katanya, dianggarkan sehingga kini seramai 250 pengguna sudah menggunakan aplikasi tersebut yang dibangunkan pada 2023.
Beliau memberitahu, sebelum ini hanya memberikan tumpuan dua lembangan iaitu Lembangan Sungai Chat dan Lembangan Abdul Samad.
“Aplikasi Saifon memberi data-data tertentu berkaitan seperti ketinggian paras air, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta bacaan tolok hujan dari masa ke semasa.
“Aplikasi ini dibangunkan dengan kos RM700,000 dan melibatkan 10 stesen di mana bacaan diambil termasuk pemasangan CCTV serta penggunaan teknologi solar di semua stesen terlibat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, Bukit Senyum di sini hari ini.
Mohd Haffiz berkata, MBJB turut memperuntukkan RM17.1 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek tebatan banjir di kawasan pentadbirannya sepanjang tahun ini.
Terdapat 23 lokasi hotspot banjir dan kerja-kerja tebatan banjir di 18 lokasi telah siap dilaksanakan dalam kawasan bandar raya ini, katanya.
Sementara lima lokasi lain katanya, kerja-kerja berkaitan sedang giat dilaksanakan.
“Antara kerja-kerja tersebut termasuklah naik taraf sistem perparitan, pintu air, sistem pam dan pembentungan, membina kolam takungan, pembaikan tembok parit, penyelenggaraan kolam tadahan serta penggalian mendakan sungai,” jelasnya.
Semua langkah itu menurutnya, sebagai persediaan MBJB berdepan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada pertengahan November ini sehingga Mac 2026.
Malah katanya, dijangka hujan lebat beberapa kali akan berlaku di sepanjang tempoh berkenaan.
“Dalam tempoh tersebut, MBJB turut menempatkan seramai 158 kakitangan yang akan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat laporan kejadian banjir kilat, longkang tersumbat, pokok tumbang dan lain-lain,” katanya.- MalaysiaGazette
















