Cubaan seorang warga Sri Lanka menyamar sebagai kanak-kanak berusia 10 tahun untuk mendapatkan Pasport Malaysia Antarabangsa terbongkar selepas pegawai imigresen UTC Pudu Sentral mengesan kelainan ketika proses permohonan, pagi tadi. Ihsan Foto : JIMKL

KUALA LUMPUR – Cubaan seorang warga Sri Lanka menyamar sebagai kanak-kanak berusia 10 tahun untuk mendapatkan Pasport Malaysia Antarabangsa terbongkar selepas pegawai imigresen UTC Pudu Sentral mengesan kelainan ketika proses permohonan, pagi tadi.

Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi apabila individu berkenaan hadir bersama seorang wanita yang mendakwa sebagai ibunya.

Pemeriksaan awal mendapati fizikal ‘kanak-kanak’ itu kelihatan lebih berusia daripada umur yang tertera pada sijil kelahiran.

Pegawai imigresen kemudiann,ya cuba berkomunikasi dalam Bahasa Melayu asas, namun lelaki itu gagal memahami soalan dan tidak tahu melaksanakan pengesahan cap jari biometrik.

“Hasil siasatan mendapati wanita tersebut menggunakan sijil kelahiran anak kandungnya, manakala warga Sri Lanka terbabit menyamar sebagai anaknya untuk memperoleh pasport Malaysia.

“Kedua-dua mereka telah ditahan di bawah Akta Pasport 1966 (Akta 150) untuk siasatan lanjut.

“Dokumen serta telefon bimbit yang digunakan dalam urusan sindiket turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, cubaan mendapatkan pasport melalui cara penipuan adalah kesalahan serius yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Siasatan bagi mengesan ahli rangkaian sindiket tersebut yang cuba memperolehi dokumen pasport antarabangsa secara tidak sah akan terus dijalankan.

“Kami ingin memberi jaminan bahawa prosedur pengeluaran pasport adalah ketat dan teliti termasuk penggunaan teknologi bagi memastikan dokumen tidak jatuh ke tangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba menyalahi undang-undang tanpa sebarang kompromi,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast