Gandipan Nantha Gopalan

JOHOR BAHRU – Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan supaya mengenakan moratorium terhadap pembukaan hospital swasta baharu di negeri ini dengan menghadkannya untuk tempoh lima tahun akan datang.

Ahli Jawatankuasa PSM, Gandipan Nantha Gopalan berkata, langkah itu bagi menghalang doktor pakar kerajaan meletak jawatan dan bekerja di hospital swasta kerana tawaran gaji yang lebih lumayan.

Jelasnya, ketika ini syarikat-syarikat besar sedang memperluaskan empayar hospital swasta mereka di negeri ini dan perkembangan itu amat membimbangkan.

“Negara kita sedang berhadapan masalah kekurangan doktor pakar di hospital kerajaan. Sebanyak 70 peratus pakar berpengalaman lebih 10 tahun kini berada di sektor swasta, sedangkan 70 peratus pesakit memerlukan rawatan dalam wad di hospital kerajaan.

“Masalah kekurangan pakar ini adalah satu isu yang telah diakui oleh kerajaan dan diketahui umum oleh rakyat.

“Setiap kali sebuah hospital swasta baharu dibuka, fenomena pengaliran keluar doktor pakar dari hospital kerajaan berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sebagai contoh, pihak pengurusan sebuah hospital swasta baharu dilancarkan berjaya merekrut 12 doktor pakar kerajaan dengan tawaran skim sehingga RM70,000 sebulan untuk tahun pertama perkhidmatan.

Tawaran lumayan seperti itu katanya, sudah tentu menarik pakar-pakar dari hospital kerajaan yang sedang menghadapi masalah kekurangan sumber manusia.

Dakwanya, situasi itu telah pun menyebabkan tempoh menunggu rawatan kritikal di hospital kerajaan menjadi semakin lama dan memberi tekanan kepada pesakit.

Beliau berkata, dalam keadaan ini, membenarkan pembukaan hospital swasta baharu hanya akan memburukkan masalah yang sedang dihadapi sistem kesihatan.

“PSM menegaskan bahawa dalam situasi kritikal ini, tumpuan penuh kerajaan sepatutnya diberikan kepada mengekalkan pakar dalam perkhidmatan awam, bukan membenarkan sektor swasta untuk mengaut keuntungan dengan ‘mencuri’ pakar daripada sistem kesihatan rakyat,” katanya.

Beliau percaya, kerajaan akan berhujah bahawa inisiatif Rakan KKM merupakan jalan penyelesaian untuk mengekalkan pakar di sektor awam.

“Tetapi hakikatnya, Rakan KKM bukan jawapan, malah akan memburukkan lagi keadaan. Kesihatan adalah hak rakyat, bukannya barang dagangan,” tegasnya.

Kerajaan katanya, harus menaikkan peruntukan tahunan Kementerian Kesihatan (KKM) menjadi 5 peratus daripada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk benar-benar menyelesaikan isu kekurangan pakar dan memperkukuh sistem kesihatan awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast