Penerima manfaat BUDI95 mengisi petrol ron95 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberi pemandu e-hailing sepenuh masa dengan had kelayakan tambahan subsidi RON95 dan penambahan had ini akan diberikan sebelum pertengahan bulan Oktober 2025.
Kementerian Kewangan berkata, pemandu e-hailing tidak perlu memohon secara individu kerana kerajaan akan berurusan dengan syarikat pengendali e-hailing (EHO) untuk membuat permohonan secara berkelompok.
Menurutnya, mengambil kira pengangkutan air, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk melanjutkan kelayakan untuk BUDI95 kepada warganegara yang merupakan pemilik bot berdaftar, tanpa memerlukan lesen memandu yang sah.
“Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri yang berkenaan, seperti Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah mengenal pasti pemilik bot berdaftar,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas kelancaran operasi BUDI95, Kementerian Kewangan berkata, setakat jam 6 petang hari ini, jumlah pembelian petrol RON95 bersubsidi melalui sistem BUDI95 telah merekodkan transaksi bernilai kira-kira RM84.2 juta.
Ia melibatkan lebih daripada 42.3 juta liter petrol RON95.
Daripada jumlah tersebut, kerajaan telah menyalurkan subsidi sebanyak RM27.8 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Sejak pengenalan BUDI95 secara berperingkat mulai 27 September 2025, seramai lebih 3 juta pengguna telah memanfaatkan BUDI95 dengan jumlah keseluruhan transaksi petrol bersubsidi yang direkodkan adalah sebanyak RM255.6 juta, melibatkan 128.4 juta liter petrol dan subsidi berjumlah RM67.0 juta disalurkan oleh kerajaan.
Tambahnya, kerajaan kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast