PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memilih bulu dalam siasatan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dengan salah laku rasuah termasuk negarawan yang berjasa kepada negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya “jasa” dijadikan alasan dan penghalang untuk tindakan tegas diambil, banyak lagi pihak yang memberi sumbangan besar negara termasuk tukang sapu.
“Ini sudah kenapa tangkap orang itu, dia berjasa kepada semua orang. Semua orang ada jasa, tukang cuci ada jasa, penghulu ada jasa, orang korup pun ada jasa.
“Firaun ada jasa, bagi ribuan orang makan setiap hari, tapi jasa firaunlah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 dan Pelancaran Keep Malaysia Clean (KMC) di Puspanita Puri, di sin, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Anwar juga memuji keberanian Azam dan pegawai-pegawai SPRM yang berani bertindak terhadap sesiapa sahaja yang terbabit dengan salah laku rasuah dan penyalahgunaan kuasa termasuk negarawan.
“Dengan sikap dan dukungan rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri terutama timbalan-timbalan perdana menteri.
“Saya lihat SPRM telah menggegarkan negara dengan keberanian bertindak terhadap siapa saja yang dianggap telah melanggar,” katanya.
Katanya lagi, keberanian SPRM atau agensi seumpamanya tidak pernah berlaku dalam sejarah melainkan di bawah kepimpinan Azam sendiri.
“Mana pernah dalam sejarah keberanian SPRM bertindak kepada pembesar-pembesar yang paling berpengaruh? Satu, dua, tiga, empat orang dan lebih. Belum pernah dalam sejarah.
“Saya baca sejak 1957 kita merdeka. Ada sesekali seorang Menteri, ada Menteri Besar, ada. Tetapi suatu tindakan menyeluruh dengan teliti, dengan berani, sedia mengambil risiko.
“Ini sahaja yang telah dilakukan oleh SPRM yang kami banggakan dan saya salute kepada keberanian saudara-saudara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

















astagfilrullah al azim