KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima tujuh buah bot penyelamat jenis JE-470 bagi kegunaan Pasukan Khas TUDM (PASKAU) di Program Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) antara kerajaan Jepun dan Malaysia.
TUDM dalam kenyatan memaklumkan, penyerahan simbolik bot penyelamat tersebut disempurnakan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki kepada Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Masro Kaliwon TUDM, yang mewakili Panglima Tentera Udara.
Majlis penyerahan berlangsung di Pangkalan Udara Jugra, Banting, Selangor dan turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Menurut TUDM, inisiatif OSA ini merupakan hasil persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Disember 2023 yang mana kerajaan Malaysia bersetuju menerima bantuan dalam bentuk geran bernilai 400 juta Yen (RM12.63 juta) daripada Kerajaan Jepun.
Bantuan tersebut adalah bagi pembelian peralatan bukan persenjataan di bawah program OSA.

Susulan itu, perjanjian Exchange of Notes (EN) telah dimeterai antara Kerajaan Malaysia dan Japan International Cooperation System (JICS) pada 16 Disember 2023, sebagai langkah pelaksanaan program tersebut.
Antara peralatan yang telah dan akan diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara berperingkat di bawah inisiatif ini termasuk Unmanned Aerial Vehicle (UAV), bot penyelamat dan Road Cleaning Truck (RCT).
UAV telah mula diserahkan kepada ATM secara berperingkat sejak 22 September 2025 yang lalu melibatkan Tentera Darat Malaysia (enam unit), Tentera Laut Diraja Malaysia (enam unit) dan Markas ATM, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (dua unit).
Penyerahan tujuh buah bot penyelamat JE-470 kepada PASKAU pada hari ini dijangka dapat memperkukuh keupayaan operasi unit khas TUDM di kawasan perairan, selain meningkatkan tahap mobiliti dan kecekapan anggota dalam pelaksanaan Operasi Udara TUDM, Operasi Pasukan Khas, serta Operasi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR).
Perolehan ini secara langsung turut mempertingkat tahap kesiapsiagaan TUDM dalam menjalankan tanggungjawab mempertahan serta menjaga kepentingan negara, selain mengukuhkan lagi hubungan pertahanan strategik antara Malaysia dan Jepun.
Kerajaan Jepun melalui inisiatif ini memperlihatkan komitmen berterusan dalam menyokong kestabilan serantau, khususnya dalam aspek pemantauan maritim, kawalan sempadan, dan operasi keselamatan. – MalaysiaGazette
















