Tan Sri Muhyiddin Yassin dah Datuk Seri Hamzah Zainuddin disebut-sebut dalam audio tular.

KUALA LUMPUR – Satu rakaman audio memperdengarkan suara dipercayai seorang pemimpin Bersatu tular di media sosial hari ini.

Suara itu dipercayai dirakam dalam satu pertemuan membabitkan pemimpin berkenaan dengan beberapa pemimpin Bersatu dan Pas dikatakan berlangsung baru-baru ini.

“Daripada Pas ada Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam perbicaraan tidak rasmi itu, ada Datuk Seri Tuan Ibrahim, ada Datuk Seri Samsuri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Dr. Sam (Datuk Seri Dr AHmad Samsuri Mokhtar), ada Datuk Idris Ahmad (Naib Presiden Pas).

“Maksudnya, top 5 diorang jumpa kamilah, yang bukan top 5 pun, tapi itulah kami yang ada,” kata suara itu.

Dalam pertemuan itu, jelas suara berkenaan mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan penuh yakin menyatakan calon Perdana Menteri daripada Pas bukan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya (individu dalam audio) yang tanya, saya yang tanya ke Tok Guru, kalau begitu siapa calon daripada Pas? Saya ingat dia nak sebut nama Dr. Sam tak (tidak).

“Tok Guru, tanpa berhelah tanpa berlapik-lapik, dia sebut, calon daripada Pas adalah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Timbalan Presiden Bersatu),” katanya.

Individu itu turut menyebut nama Hamzah dipetik dua kali, sekali gus menimbulkan kekeliruan kerana sebelum ini Pas dikatakan menyokong Muhyiddin melalui program kembara parti itu.

Namun, menurutnya, kenyataan Abdul Hadi adalah pendirian peribadi Presiden Pas.

“Abdul Hadi kata ini daripada dia. Tafsir dia datang daripada Tan Sri Abdul Hadi. Dia kata adab kita orang Melayu mulakan dengan mendoakan kebaikan nyatakan sokongan,” ujar suara dalam rakaman itu lagi.

Audio itu dikatakan mirip suara Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dan MalaysiaGazette sedang mendapatkan maklum balas beliau berhubung penularan audio berkenaan.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette turut menerima satu lagi audio mengenai situasi yang didakwa rakaman audio berhubung perjumpaan sulit melibatkan beberapa individu dalam Bersatu sehari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu di Shah Alam, baru-baru ini.

Rakaman itu antara lain memperincikan strategi untuk melakukan provokasi sepanjang persidangan.

“Ada tiga individu yang akan mainkan peranan. Kalau dia (Ketua Bahagian) bangun bahawa ada provokasi itu, kita kena jawab. Kita tak boleh bagi sebab ini adalah PAT tuan-tuan. Kalau diendorse dalam PAT, bermakna dia dah jadi sah,” demikian antara petikan dalam audio tersebut.

Perbincangan dalam rakaman itu dipercayai berkaitan usul mencalonkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN).

Malah, suara dalam audio berkenaan turut menyebut perancangan menyediakan kain rentang sokongan yang perlu disembunyikan ketika dibawa masuk ke dewan.

Untuk rekod, PAT Bersatu pada 6 September lalu kecoh apabila laungan “turun Tan Sri” berselang-seli dengan “hidup Tan Sri” kedengaran ketika Muhyiddin menyampaikan ucapan dasar, memaksa persidangan tergendala seketika akibat kekecohan di kalangan perwakilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast