JASIN – Selepas hampir 21 jam dilaporkan hilang di kebun sawit ketika mencari sayur, seorang wanita warga emas berusia 73 tahun akhirnya ditemui selamat pagi tadi.
Anaknya, Hanisah Saiman, 40, berkata, ibunya, Zoiyah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mak Yah, ditemui kira-kira pukul 10.45 pagi ini selepas muncul dari sebuah bangunan tinggal dikenali penduduk kampung sebagai ‘office lama’ di dalam kebun berkenaan.
“Mak kata ada orang bawa berteduh, siap ajak ‘tidur hotel’, malah diberi makan kari ayam.
“Sebelum itu mak masuk semula ke kebun untuk cari parang yang mungkin tertinggal, tapi hari semakin gelap sebelum dia tersesat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hanisah berkata, ibunya mendakwa terjumpa lelaki dan perempuan yang mengajaknya berehat di bangunan tinggal itu yang mempunyai kisah seram dalam kalangan penduduk setempat.
“Lebih mengejutkan, mak beritahu dia sedar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berada berhampiran lokasi malam tadi sebab nampak orang suluh lampu tapi takut nak keluar.
“Orang kampung pun cakap kawasan itu memang keras, terutama di bahagian kolam yang sering dikaitkan dengan kisah mistik,” dakwanya lagi.

Tambahnya, ibunya juga menyangka suasana kecoh operasi SAR itu adalah majlis kenduri kerana ramai orang berada di kawasan pencarian itu.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin, Penguasa Bomba Kanan II Noorsyahlan Omar berkata, mangsa ditemui selamat pada pukul 11.07 pagi, tidak jauh dari pusat kawalan operasi bomba. – MalaysiaGazette
















