KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mendesak kerajaan membatalkan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini sekiranya semua aktivisi Global Sumud Flotilla (GSF) terutama rakyat Malaysia yang ditahan Israel tidak dibebaskan.
Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sekiranya jemputan itu tidak dibatalkan, Pemuda UMNO seluruh negara akan mengadakan bantahan di hadapan Trump secara besar-besaran semasa lawatan pemimpin berkenaan ke Kuala Lumpur kelak.
“Biar kita berdepan dengan Trump secara terus! Sakiti mereka, sama dengan sakiti kami semua rakyat Malaysia!!!
“Bebaskan aktivis Global Sumud Flotilla!!!” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Setakat ini, seramai 17 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas Zionis di perairan Gaza pagi ini.
Mereka termasuk penyanyi, Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius.
Turut ditahan penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio selain Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad yang berada di atas kapal Grande Blu.
Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut ialah seramai 23 orang.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Trump sudah mengesahkan kehadirannya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara yang dijadual berlangsung hujung bulan ini. – MalaysiaGazette
















