KUALA LUMPUR – Polis menahan dua peserta himpunan menyokong misi Global Sumud Flotila (GSF) di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di sini, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, peserta berusia 23 dan 32 tahun itu ditahan kerana menganggu polis untuk menjalankan tugas.
Menurut beliau, kejadian berlaku sekitar waktu tengahari apabila terdapat kira-kira 50 peserta himpunan yang berhimpun di Jalan Tun Razak, di sini.
Bagaimanapun, situasi menjadi tegang selepas beberapa peserta menghalang lalu lintas di jalan yang terkenal sibuk itu.
Ini menurut beliau, menyebabkan sedikit pergelutan sehingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami cedera ringan di muka.
“Kertas siasatan sudah dibuka di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Kes sedang disiasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan seorang daripada peserta yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju manakala, seorang lagi tidak dapat dikenalpasti.
Himpunan tersebut dihadiri puluhan aktivis yang mula berkumpul di kawasan berhampiran kedutaan yang dikawal ketat pihak berkuasa sejak pukul 12 tengahari.
Mereka berhimpun bagi menyatakan solidariti dan bantahan terhadap tindakan rejim Zionis Israel memintas konvoi GSF pada awal pagi tadi di perairan antarabangsa yang sedang menuju ke Gaza.
Peserta himpunan sebelum itu melaungkan slogan “bebas Palestin”, “hancur Israel” dan “death to the IDF” sebagai tanda bantahan terhadap sikap pasukan bersenjata Israel.
Terdahulu, Pusat Sumud Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan setakat pukul 7.50 waktu Malaysia, seramai 17 sukarelawan negara tidak dapat dihubungi selepas kapal mereka dipintas.
Penganjur GSF melaporkan, setakat pukul 12.30 tengahari waktu Malaysia, 19 daripada 46 kapal konvoi telah dipintas oleh tentera laut Israel. – MalaysiaGazette
















