KUALA LUMPUR – Industri fesyen Malaysia dijangka akan terus berkembang pesat apabila kajian oleh Shopperboard yang dikeluarkan pada Mei lalu menganggarkan penembusan urus niaga e-dagang dalam segmen itu mencecah 19.2 peratus dengan nilai jualan sekitar USD5.24 bilion pada tahun 2025.
Selain itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut menjangkakan industri tekstil dan pakaian negara bernilai kira-kira USD3.5 bilion setahun dan bakal meningkat kepada USD4.47 bilion menjelang 2030.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, angka tersebut membuktikan industri fesyen tempatan mempunyai potensi besar untuk menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara.
“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan industri fesyen dan gaya hidup tempatan berkembang sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan My Gaya Month (MGM) 2025 di Bukit Jalil hari ini.
Menurutnya, penganjuran MGM2024 berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.1 juta (RM1,116,384.36), iaitu peningkatan 39.16 peratus berbanding RM802,254.30 pada 2023.
Armizan berkata, dengan potensi pasaran mencecah berbilion ringgit seperti ditunjukkan oleh kajian terkini, usaha melalui diyakini mampu menjadi pemangkin untuk mengukuhkan ekosistem fesyen tempatan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Sehubungan itu, penganjuran My Gaya Month 2025 (MGM2025) yang berlangsung sepanjang Oktober di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dilihat sebagai platform penting bagi mengetengahkan kreativiti pereka tempatan serta memperkukuh daya saing industri.
MGM2025 merupakan kerjasama KPDN dengan Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025.
Antara pengisian program termasuk reruai jualan, forum industri fesyen, bengkel penataan, pelancaran produk,bsesi ramah mesra bersama pereka dan selebriti, selain pertunjukan fesyen membabitkan 20 jenama tempatan serta 10 institusi pengajian tinggi dan akademi fesyen. – MalaysiaGazette
















