KUANTAN – Seluruh rakyat di negeri ini diminta terus bersama-sama mendoakan kesejahteraan sukarelawan Malaysia yang terlibat misi Global Sumud Flotilla (GSF) menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru agar rakyat turut mendoakan keselamatan mereka yang dipercayai telah ditahan tentera Israel hari ini.
“Kita sentiasa menyeru supaya mereka mendapat perlindungan daripada Allah. Bukan setakat menghantar bantuan yang daripada dulu lagi kita berikan, tapi doa juga sentiasa tidak putus buat mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Aspirasi Pahang 1st Tingkatan Enam di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Wan Rosdy dalam masa sama turut menyeru agar rakyat di negeri melakukan solat hajat memohon agar sukarelawan yang ditahan tentera Israel berada dalam keadaan selamat dan dibebaskan segera.
Setakat 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 17 sukarelawan daripada Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Gerakan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas.
Difahamkan, seramai 12 daripada mereka termasuk Zizi Kirana, Farah Lee dan Heliza Helmi disahkan ditahan tentera Israel setakat jam 6 pagi waktu Malaysia.
Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut ialah seramai 23 orang. – MalaysiaGazette















