Ribuan rakyat Malaysia berhimpun pada Perhimpunan Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat Jalan Tun Razak. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Ribuan warga kota berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, di sini, bagi menyatakan bantahan terhadap penahanan beberapa sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera zionis untuk ke Gaza, hari Ini.

Protes telah bermula sejak pukul 12 tengah hari tadi dengan orang ramai mula datang secara bertali arus.

Pasukan keselamatan melakukan sekatan terhadap kumpulan terbabit yang mahu menghampiri Kedutaan AS dan menurut seorang petugas keselamatan yang ditemui, himpunan dipercayai dirancang pada saat akhir.

Tinjauan mendapati peserta mula melakukan protes dengan bergerak ke tengah jalan raya sebelum pihak keselamatan cuba mengawal situasi kerana himpunan itu turut menyebabkan kesesakan laluan.

Turut kedengaran laungan beberapa peserta, termasuk berkeras menunggu sehingga petang di hadapan kedutaan berkenaan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyekat laluan namun, kira-kira pukul 4 petang, ribuan peserta yang berhimpun itu telah bergerak menuju ke Kedutaan AS.

Peserta turut membawa sepanduk yang antara lain tertera ‘Hancur Israel’ dan ‘Tolak Zionis’, selain melaungkan ‘Bebas Palestin’.

Ribuan rakyat Malaysia berhimpun pada Perhimpunan Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat Jalan Tun Razak. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 OKTOBER 2025

Berikutan himpunan itu, sebahagian laluan dari arah persimpangan lampu isyarat di hadapan bangunan Intermark mengalami kesesakan.

Pihak berkuasa terutama dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, melaksanakan sekatan laluan di hadapan bangunan ALPS bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin politik dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berucap pada himpunan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast