Skrin yang memaparkan perkembangan terkini delegasi Malaysia yang telah ditahan tentera Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla, di MAPIM Malaysia Central Warehouse, Sepang. Foto SADIQ SANI, 02 OKTOBER 2025

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor mengecam tindakan rejim Zionis yang menahan para aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan itu adalah perbuatan zalim yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia.

“Kerajaan Negeri Selangor mengecam sekeras-kerasnya perbuatan rejim Zionis yang menahan dan menculik para aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla dari 44 buah negara termasuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin Shari

Amirudin berkata, penahanan itu tidak boleh diterima kerana Global Sumud Flotilla digerakkan dengan tujuan kemanusiaan, iaitu menghantar bantuan makanan dan kesihatan kepada rakyat Gaza yang sedang menderita akibat sekatan dan serangan berterusan.

“Mewakili Kerajaan Negeri, saya menyeru semua rakyat untuk bersolidariti dengan memberi sokongan penuh terhadap usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan pembebasan mereka,” katanya.

Beliau turut menzahirkan doa agar semua aktivis yang ditahan berada dalam keadaan baik dan dilindungi daripada sebarang bahaya.

“Doa dipanjatkan semoga semua aktivis selamat dan sihat, insya-Allah,” ujarnya.

Dalam pada itu Amirudin juga menyeru, sokongan dan solidariti daripada rakyat Malaysia amat penting ketika ini untuk memastikan usaha membebaskan para aktivis dapat dicapai dengan segera.

Beliau menegaskan, usaha membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah satu tanggungjawab mulia dan tidak seharusnya dihalang oleh mana-mana pihak.

“Kerajaan Negeri Selangor berdiri bersama semua yang berjuang untuk keamanan dan kemanusiaan. Penahanan ini adalah satu kezaliman yang mesti ditentang oleh seluruh masyarakat dunia,” katanya.

Global Sumud Flotilla menghimpunkan lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk doktor, ahli politik, sukarelawan kemanusiaan dan wakil pertubuhan masyarakat sivil.

Mereka belayar membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta barangan keperluan asas untuk disalurkan terus kepada penduduk Gaza yang terjejas akibat sekatan Israel sejak lebih 17 tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast