KUALA LUMPUR – Pelakon, Yusuf Bahrin sentiasa perkembangan terkini isterinya yang juga penyanyi, Zizi Kirana yang kini dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Yusuf atau nama lengkapnya Muhammad Yusuf Bahrin, 33, sanggup bersengkang mata dan kali terakhir berhubung dengan Zizi, 40, pada 1 pagi tadi sebelum komunikasi terputus.
“Status kapal Zizi kali terakhir adalah kecemasan. Setakat ini saya cuba sedaya upaya untuk kuatkan semangat di sini, doa banyak-banyak.
“Kalian kena tolong spam video. Semoga apa yang kita buat hari ini dapat buka mata sesiapa yang masih neutral. Dalam misi ini bukan semua orang Islam, ada yang bukan Islam. Jadi dekat sini nak tunjukkan maksud misi kemanusiaan tak kira bangsa dan agama.
“Mereka punya misi untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat G (Gaza). Bukan nak pergi berperang,” katanya.
Selain itu, Yusuf turut sebak memberitahu, rakyat Gaza sudah menunggu di tepi pantai bagi menyambut kehadiran pasukan GSF.
“Saya yang sedihnya, orang-orang dekat G suah tunggu tepi pantai termasuk budak-budak kecil. Itu yang ralat sikit. Mereka tiada apa tapi tetap nak sambut pasukan Flotilla. Mereka punyalah baik dan gembira dapat tahu dunia tak sisihkan mereka.
“Satu dunia pandang G sebab tak semua ada media sosial. Bila tengok GSF tengah tular, mereka tahu ada orang peduli,” katanya.
Yusuf turut mengajak orang ramai menunaikan solat hajat dan mendoakan keselamatan semua delegasi misi kemanusiaan tersebut.
“Insya-Allah saya minta jasa baik kalian untuk doakan sebelum Subuh. Sama-sama kita buat solat hajat sikit sebab benda ini luar bidang kuasa kita.
“Hari ini baru sedar, kita tak boleh buat apa-apa hanya doa sahaja.
“Saya boleh katakan, yang pergi misi ini semua hebat. Allah Taala letak mereka di satu darjat yang saya dan kita semua sendiri tak mampu duduk di situ,” ujarnya. – MalaysiaGazette















