KUALA LUMPUR – Penahanan aktivis Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera Israel merupakan pencabulan undang-undang antarabangsa serta satu perbuatan yang tidak bermoral.
Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen berkata, bantuan kemanusiaan merupakan hak yang dilindungi oleh undang-undang antarabangsa.
Sehubungan itu, tegasnya, kerajaan perlu membawa isu ini ke perbincangan diplomatik dan forum antarabangsa dengan segera bagi menuntut jaminan keselamatan terhadap misi bantuan tersebut.
“Gerakan menuntut Kerajaan Madani segera mendapatkan kepastian dan akses konsular kepada semua warganegara Malaysia yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, katanya, misi tersebut jelas tidak membahayakan sebaliknya bertujuan membawa bantuan kepada orang awam di aza yang menderita akibat konflik kekejaman rejim.
Mengulas lanjut, Chia Zhen berkata, dunia perlu menilai kekejaman tindakan rejim Zionis kali ini.
“Israel tidak akan mampu mengelak daripada penilaian dan kecaman antarabangsa terhadap perbuatan zalim ini dan akibatnya akan kembali menghantui mereka sendiri.
“Gerakan percaya tindakan sebegini adalah tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan nilai-nilai asas sejagat,” katanya yang mengecam penahanan tersebut.
Untuk rekod, sehingga kini media melaporkan 13 rakyat Malaysia di atas lima kapal misi GSF terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC).
Lapan orang termasuk Zizi Kirana disahkan ditahan tentera Israel setakat jam 6 pagi waktu Malaysia.
Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut ialah seramai 23 orang.- MalaysiaGazette
















