SEPANG – Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan tiada laporan bunyi tembakan ketika insiden pintasan ke atas delegasi Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera rejim Israel sejak berlakunya serangan awal pagi tadi.
Ketua pengarahnya, Datuk Dr Sani Araby turut menafikan spekulasi delegasi seramai 12 orang itu diseksa selepas ditahan di atas kapal oleh tentera Zionis itu.
Beliau memberitahu, pihak tentera rejim Israel telah mengarahkan kapal delegasi menukar laluan dari Gaza mengikut arahan radio ke lokasi yang belum disahkan.
“SNCC menerima laporan kecemasan SOS dari delegasi Malaysia atas kapal bahawa terdapat anggaran 10 buah kapal tentera rejim Israel ketika insiden pintasan.
“Intimidasi pertama berlaku pukul 1.20 pagi waktu Malaysia ke atas kapal Alma dan Sirius di mana kedudukan ketika intimidasi adalah di perairan antarabangsa iaitu 80 batu nautika dari Gaza,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan terkini delegasi Misi Sumud Flotilla di Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di sini hari ini.
SNCC bagaimanapun mengesahkan berlaku provokasi tentera rejim dengan menggunakan meriam air tekanan tinggi serta mengganggu dan menyekat semua akses komunikasi termasuk CCTV dan siaran radio.

Setakat pukul 10.44 pagi tadi waktu Malaysia, sejumlah 14 kapal flotila telah dipintas dan SNCC melaporkan seramai 201 daripada 497 orang peserta flotila termasuk 12 rakyat Malaysia yang terdiri dari tujuh lelaki dan lima perempuan merupakan antara delegasi dipercayai ditahan atas kapal oleh tentera rejim Israel setakat ini.
Mengulas lanjut, Sani menegaskan, agar semua pihak merujuk SNCC sebagai sumber sahih kerana sebarang maklumat yang tidak sahih hanya memenangkan propaganda pihak Zionis dan akan membina naratif salah.
“Pihak Sumud Nusantara menggesa semua penyokong, media, keluarga peserta dan masyarakat yang mendokong untuk terus menjadi penguat semangat dan tidak terpengaruh dengan cubaan halus melemahkan barisan solidariti antarabangsa ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















