Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan berusia 23 dan 32 tahun yang ditahan kerana disyaki menghalang tugas polis ketika perhimpunan menyokong misi Global Sumud Flotilla (GSF) di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak semalam telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas enggan memberikan kerjasama kepada anggota keselamatan yang bertugas sebelum mereka dirakam keterangan bagi siasatan lanjut.

“Kedua-dua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis pada malam hari yang sama selepas proses rakam keterangan dijalankan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Fadil, pihaknya sentiasa menghormati kebebasan berhimpun sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, semua pihak diingatkan agar mematuhi arahan polis dan undang-undang. Hal ini adalah bagi memastikan perhimpunan berlangsung dengan aman tanpa menjejaskan ketenteraman awam atau lalu lintas,” tambahnya.

Media semalam melaporkan berlaku sedikit kekecohan ketika himpunan tersebut apabila peserta didakwa menutup aliran trafik di kawasan yang sibuk itu.

Akibat kejadian itu, berlaku sedikit pergelutan sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera di bahagian mulut selepas terkena siku seorang peserta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast