Skrin memaparkan perkembangan terkini delegasi Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), di MAPIM Malaysia Central Warehouse, Sepang. Foto SADIQ SANI, 02 OKTOBER 2025. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan telah mengadakan pertemuan dengan pasukan peguam Malaysia di Amman bagi memastikan tahanan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) mendapat perlindungan undang-undang yang adil dan telus.

Kedutaan berkenaan menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan pergerakan rakyat Malaysia dalam misi GSF terutama mereka yang ditahan Israel.

“Pihak kedutaan juga turut berhubung dengan negara-negara sahabat ASEAN di Amman dan Tel Aviv bagi mendapatkan maklumat semasa berkenaan tahanan Malaysia serta menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya,” demikian menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar sebelum ini memaklumkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Misi yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 buah negara termasuk Malaysia itu, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting kepada penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan Israel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast