KUALA LUMPUR – Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (PSB) anjuran Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) PSB hari ini menuntut pembentangan RUU itu di Dewan Rakyat tidak diteruskan sehingga ia digubal semula dengan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.
Ia merupakan salah satu daripada tiga resolusi yang dicapai menerusi konvensyen itu yang turut berpandangan draf RUU PSB sedia ada mengandungi terlalu banyak kelompongan dan peruntukan yang tidak meyakinkan.
Selain itu, konvensyen itu turut berpandangan RUU PSB sedia ada gagal menangani kegusaran utama para pemilik hartanah dan tidak memberikan jaminan perlindungan yang secukupnya.
Sementara itu, konvensyen tersebut menerusi resolusi kedua menggesa kerajaan untuk tidak terburu-buru sebaliknya melaksanakan satu kajian semula yang holistik dan meminda beberapa akta utama secara bersepadu.

Pindaan itu adalah untuk memastikan matlamat pembaharuan semula bandar tercapai dan tidak bertindih dengan 10 akta-akta berkaitan sedia ada.
Dalam pada itu, konvensyen itu dalam resolusi ketiga mengusulkan supaya sebuah agensi kerajaan ditubuhkan untuk mengawal selia sebarang usaha perancangan pembangunan semula bandar (redevelopment), penjanaan semula bandar (regeneration) dan penyenggaraan semula bandar (refurbishment).
Ia untuk memastikan kelancaran sesuatu pembangunan semula dan menyelesaikan pertikaian di antara penduduk, pemilik dan pemaju.
“Konvensyen hari ini berharap agar kerajaan dapat merungkai segala kegusaran, ketakutan dan ketidakyakinan rakyat terhadap kelompongan yang ada dalam RUU PSB ini.
“Konvensyen ini juga berharap kerajaan menangguhkan pembentangan RUU PSB sehingga ia digubal semula dengan mengambilkira empat belas cadangan konvensyen dan cadangan-cadangan lain yang diutarakan oleh pihak berkepentingan,” demikian menurut resolusi berkenaan.
Terdahulu, Konvensyen PSB anjuran Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU PSB yang diketuai oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Abdul Johari Ghani itu menampilkan seramai 11 pembahas daripada pelbagai latar belakang yang memberikan input ke arah penambahbaikan RUU terbabit.
Antaranya ialah Setiausaha Agung, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, Datuk Chang Kim Loong; Setiausaha Agung, Majlis Perundingan Melayu (MPM); Datuk Dr. Hasan Mad; Felo Akademi Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Alias Abdullah dan peguam, Adriana Abu.
Input daripada konvensyen itu kemudiannya dijadikan sebagai sebahagian dariapada resolusi yang diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi UMNO untuk dikemukakan kepada kerajaan.
Selain daripada tiga resolusi utama itu, konvensyen berkenaan turut mengesyorkan agar kerajaan mempertimbangkan 14 cadangan khusus bagi menutup kelompongan dan kelemahan akta tersebut seperti berikut:
- Tanggungjawab kerajaan memastikan kredibiliti pemaju.
- Pampasan yang adil dan menyeluruh.
- Penetapan nilai ambang persetujuan (threshold) untuk pembangunan semula.
- Tindakan kerajaan untuk menyelamatkan projek terbengkalai dan bangunan tidak selamat.
- Pihak berkepentingan mestilah dimasukkan penyewa dan pemilik yang masih berhutang.
- Larangan pemindahan penduduk oleh pemaju sebelum persetujuan dicapai.
- Mekanisme kelulusan bersama di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
- Keperluan definisi yang jelas dan spesifik.
- Menjadikan unsur paksaan atau tekanan kepada pemilik dan penduduk oleh pemaju sebagai satu kesalahan jenayah.
- Kawalan perancangan bandar untuk mengelak “gentrification”.
- Pengambilalihan bangunan terbiar oleh kerajaan.
- Keperluan mendefinisi jenis kediaman yang jelas.
- Penubuhan jawatankuasa khas pembangunan semula di peringkat Persekutuan dan negeri bagi setiap projek pembangunan semula bandar.
- Ketelusan penuh berkenaan insentif kerajaan. – MalaysiaGazette
















