Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif beramah mesra dengan salah seorang peniaga ketika hadir meninjau gerai makan di Pantai Bazaria, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia telah meminta jasa baik Turkiye bagi membawa keluar 23 rakyat negara ini yang ditahan tentera Israel semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu disampaikan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan menerusi satu perbualan telefon antara kedua-dua mereka.

“Saya telah meminta jasa baik Presiden Erdogan supaya jika boleh, membawa mereka dari mana-mana lokasi sekitar Israel ke Istanbul dengan pesawat khas Turkiye yang akan mengambil rakyatnya sendiri.

“Dari Istanbul, insya-Allah kita akan bawa pulang rakyat Malaysia. Beberapa persefahaman awal telah dicapai sejak pagi tadi,” katanya kepada media selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Khadijah hari ini.

Semalam Anwar mengesahkan 23 rakyat Malaysia ditahan ketika menjalankan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa.

Dalam pada itu, Anwar turut memberitahu, Malaysia telah mengaktifkan pelbagai saluran diplomatik antarabangsa termasuk dengan Qatar dan Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan keselamatan serta pembebasan 23 rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel dalam misi kemanusiaan tersebut.

Menurut Anwar, beliau sendiri telah menghubungi Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed  Abdulrahman Al-Thani untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai rakyat Malaysia di sana.

Malah Anwar juga sempat mengadakan komunikasi dengan bekas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken serta Steve Witkoff (Duta Amerika Syarikat ke Timur Tengah) yang membantu menyelaras perjanjian.

“Melalui Datuk Mohamad Hasan di luar negara dan Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri Dalam Negeri, kita teruskan komunikasi dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

“Beliau telah menugaskan Ketua Keselamatan Negara Turkiye, Dr. Ibrahim Kalin untuk membantu kita. Ini penting kerana kita memerlukan tekanan antarabangsa yang menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, maklumat daripada pihak Turkiye menunjukkan keadaan rakyat Malaysia berada dalam keadaan terkawal dan selamat walaupun ditahan secara zalim oleh rejim Zionis.

“Kita berharap jangan ganggu rakyat kita, jangan dera mereka. Penjara itu sendiri sudah satu penderaan,” tegasnya.

Anwar turut menegaskan walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Israel, hubungan rapat dengan Turkiye, Qatar dan AS telah membuka ruang diplomasi penting.

“Inilah yang kita maksudkan dengan kebijaksanaan diplomasi — kita berhubung rapat dengan semua pihak kerana yang benar-benar boleh mempengaruhi Israel ialah AS. Oleh itu, kita menggunakan saluran Qatar dan Turkiye untuk menyampaikan pandangan kita,” ujarnya.

Sejumlah 15 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan ditahan oleh tentera rejim Israel selepas mereka terputus hubungan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast