KUALA LUMPUR – Pas menyambut baik serta menyokong resolusi dan usul yang dipersetujui dalam Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (PSB) anjuran UMNO hari ini yang bertujuan melindungi hak dan kepentingan pemiliknya.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, konvensyen tersebut diadakan tepat pada masanya susulan kebimbangan serta bantahan meluas rakyat terhadap cadangan kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) PSB berkenaan.
Menurutnya, RUU PSB didapati gagal menjawab isu-isu penting yang telah lama dibangkitkan oleh pelbagai pihak sebelum ini.
“Pas percaya konvensyen ini tepat masa susulan kebimbangan dan bantahan meluas rakyat berikutan cadangan kerajaan untuk memperkenalkan RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang didapati gagal menjawab isu-isu penting yang disuarakan oleh banyak pihak sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Takiyuddin mengulas langkah UMNO mengusulkan tiga resolusi berkaitan RUU PSB 2025 menerusi Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar.
Ketua Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan RUU tersebut, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, resolusi pertama adalah menuntut akta itu tidak terus dibentangkan sehingga ia digubal semula bagi mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.
Konvensyen ini mengesyorkan supaya kerajaan mempertimbangkan 14 cadangan khusus bagi menutup kelompongan dan kelemahan akta itu.
Antara 14 cadangan itu adalah tanggungjawab kerajaan memastikan kredibiliti pemaju, pampasan yang adil dan menyeluruh, penetapan nilai ambang persetujuan untuk pembangunan semula serta ketelusan penuh berkenaan insentif kerajaan.
Dalam perkembangan sama, Takiyuddin berkata, Pas berpendirian sebarang dasar pembangunan bandar mesti berasaskan keadilan sosial, ketelusan serta perlindungan menyeluruh terhadap hak pemilik hartanah.
“Pas akan terus mendukung segala usaha yang menjamin keseimbangan antara pembangunan dan perlindungan hak rakyat.
“Langkah ini diyakini boleh meminimumkan konflik yang mungkin berlaku, selain menjamin kepentingan dan hak pemilik sentiasa terpelihara,” tambahnya.
Konvensyen berkenaan menetapkan tiga resolusi utama, 14 penegasan dan dua usul yang antaranya mencadangkan penubuhan sebuah agensi khusus bagi mengawal selia pelaksanaan rancangan pembaharuan semula bandar.
Agensi tersebut dicadangkan bagi melancarkan proses pembangunan serta menjadi mekanisme penyuraian pertikaian yang mungkin timbul sepanjang pelaksanaan projek. — MalaysiaGazette
















