KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam serangan terhadap konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang melanggar undang-undang dan norma antarabangsa
Setiausaha Agungnya, Dr Fuziah Salleh berkata, serangan tersebut melanggar Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS), prinsip kemanusiaan serta hak asasi manusia para peserta di atas kapal.
“Keadilan selaku parti politik mendukung prinsip kemanusiaan di bawah Perkara 5.18 perlembagaan parti memberi halatuju jelas dan peranan di peringkat antarabangsa untuk berjuang membentuk dunia lebih adil, demokratik dan melindungi negara dari sebarang kuasa dunia yang menindas,”katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Fuziah berkata, Danish Nazran Murad yang ditahan ketika belayar dalam kumpulan GSF bersama kapal Grande Blu adalah anggota Angkatan Muda Keadilan AMK) Negeri Sembilan.
“Penyertaan mereka melambangkan keberanian dan pengorbanan anggota Keadilan di pelbagai peringkat,” katanya.
Beliau berkata, kezaliman dan tindakan luar batas kemanusiaan rejim Zionis mesti terus dikecam oleh masyarakat dunia tanpa mengira latar belakang fahaman dan budaya.
“Jelas kempen genosid yang sedang berlaku di bumi Gaza adalah satu jenayah terbesar dalam sejarah moden dunia,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















