KUALA LUMPUR – Polis sedang menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai tindakan susulan insiden kekecohan yang berlaku ketika operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru pada 11 September lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kertas siasatan berhubung kejadian itu telah siap dan diserahkan kepada AGC untuk tindakan lanjut.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan semua bahan bukti telah dihantar. Kini kita menunggu arahan sama ada pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 353, Seksyen 186 atau Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera selepas dipercayai dibaling batu ketika cuba mengawal keadaan semasa kejadian.
Beliau kemudiannya dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ekoran kejadian itu, lapan individu ditahan manakala lebih 60 saksi, termasuk anggota keselamatan dipanggil untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette















