KUALA LUMPUR – Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid secara peribadi berpandangan adalah lebih baik untuk menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Ini kerana kata beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk, undang-undang dan akta sedia ada sudah cukup untuk menjaga kepentingan rakyat.
Selain itu, tambahnya, RUU PSB yang dicadangkan juga dilihat lebih mengutamakan kepentingan ‘pemodal’ berbanding rakyat.
“Kita tidak mahu undang-undang dijadikan instrumen untuk menghakis hak milik Bumiputera dan penduduk asal di kawasan bandar atas nama pembangunan semula,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Nurulhidayah turut menghadiri Konvensyen PSB anjuran Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Konvensyen anjuran sekretariat yang diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani itu bertujuan menghimpunkan input daripada pelbagai latar belakang kumpulan masyarakat untuk dijadikan resolusi penambahbaikan RUU PSB bagi dikemukakan kepada kerajaan.
Sementara itu, Nurulhidayah berkata, pada hakikatnya pembaharuan bandar mesti dikuasai oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi yang menjaga kepentingan rakyat dan Bumiputera, bukannya diserahkan bulat-bulat kepada pihak berkuasa Persekutuan.
Menurutnya, rakyat mesti dilibatkan secara langsung, bukan ditinggalkan hanya sebagai penonton.
Malah, tambah beliau, sekiranya RUU PSB yang dicadangkan itu diluluskan di Parlimen kelak, ia hanya akan mengulangi kesilapan lama.
“Bandar jadi moden, tetapi rakyat asal dipinggirkan.
“Kita menegaskan, dasar pembaharuan bandar mesti berpaksikan hak rakyat, pemilikan tanah asal, dan kepentingan Bumiputera sebagai asas utama,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, RUU PSB dijangka dibentangkan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Isnin depan.
Terdahulu, RUU PSB 2025 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.
Bagaimanapun, RUU PSB itu mendapat bantahan banyak pihak termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan sendiri, selain Pemuda Pas turut merancang mengadakan himpunan aman bagi membantah RUU tersebut di ibu negara esok. – MalaysiaGazette
















