KUALA LUMPUR – Perhimpunan Aman Solidariti Bersama Gaza yang dihadiri lebih 1,000 peserta pada awalnya terkawal, bagaimanapun bertukar menjadi kecoh apabila ada segelintir individu melakukan provokasi terhadap pasukan keselamatan.
Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi himpunan itu mendapati, situasi menjadi tegang apabila segelintir peserta dilihat membaling beberapa telur ayam ke arah pasukan simpanan persekutuan (FRU) pada jam 4.31 petang tadi.
Insiden itu dipercayai di luar pengetahuan pihak penganjur iaitu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang menamatkan perhimpunan aman itu kira-kira jam 4 petang tadi.

Kekecohan itu tercetus selepas permintaan peserta dalam kalangan anak muda agar sekatan jalan di luar pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak dibuka tidak diendahkan pasukan polis.
Desakan yang datang daripada kira-kira 200 peserta himpunan yang enggan bersurai berlarutan hingga 15 minit sebelum kejadian telur terbang berlaku.
Sejurus selepas itu, berlaku pergelutan antara peserta dengan beberapa anggota polis itu selepas sekatan keselamatan yang diletakkan kira-kira 20 meter dari pintu masuk Kedutaan AS cuba dirempuh. – MalaysiaGazette
















