WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi kata dua kepada Hamas supaya menerima pelan damai Gaza yang dicadangkan beliau atau berdepan “neraka yang dahsyat.”
Katanya, Hamas diberi tempoh sehingga jam 6 petang Ahad, waktu Washington DC (2200 GMT+8)
“Jika perjanjian PELUANG TERAKHIR ini tidak dipersetujui, NERAKA, seperti yang tidak pernah disaksikan sebelum ini, akan tercetus terhadap Hamas,” katanya. menerusi platform Truth Social miliknya.
Dalam hantaran itu, Trump berkata “rakyat Palestin yang tidak bersalah” harus berpindah ke satu kawasan yang lebih selamat sebagai persediaan menghadapi kemungkinan serangan terhadap baki pasukan Hamas.
Katanya ia bagi mengelakkan kawasan konflik itu menjadi medan kematian besar-besaran. Beliau bagaimanapun tidak memberitahu di manakah kawasan selamat yang dimaksudkannya.
“Semua (penduduk Gaza) akan dijaga dengan baik, sudah ada pihak yang menunggu untuk membantu. Hamas bernasib baik kerana mereka masih diberi satu peluang terakhir.ng.
“Mereka (tentera Israel) hanya menunggu saya memberi arahan ‘serang’ untuk menamatkan nyawa kamu dengan segera.
“Bagi yang lain, kami tahu kamu siapa dan di mana. Maka kamu akan diburu dan dibunuh,” katanya lagi.
Pelan damai Trump yang dibentangkan selepas hampir dua tahun serangan dahsyat Israel ke atas Gaza telah mendapat sokongan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, namun sehingga kini belum diterima oleh Hamas.
Perjanjian itu menyeru kepada gencatan senjata, pembebasan tebusan dalam tempoh 72 jam, perlucutan senjata Hamas dan pengunduran beransur-ansur Israel dari Gaza.
Ia akan diikuti dengan sebuah pihak berkuasa peralihan pasca perang yang diketuai sendiri oleh Trump.
Bagaimanapun, maksud arahan pemindahan orang awam Palestin yang dinyatakan Trump dalam pelan tersebut, masih tidak jelas.
Tentera Israel kini sedang melancarkan serangan udara dan darat di pusat bandar terbesar wilayah tersebut, yang telah memaksa ratusan ribu orang melarikan diri.
PBB pada Jumaat sekali lagi menegaskan bahawa tiada tempat selamat di Gaza dan zon yang ditetapkan Israel di bahagian selatan adalah “tempat kematian.”
Perang ini tercetus akibat serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, yang mengorbankan 1,219 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.
Serangan balas Israel pula telah membunuh sekurang-kurangnya 66,225 rakyat Palestin, menurut angka kementerian kesihatan di wilayah yang ditadbir Hamas dan dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). -AFP
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















