KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu Indonesia, Asrilia mengakui menyimpan hasrat mahu berkolaborasi bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang merupakan antara idolanya dalam dunia seni suara sejak di bangku sekolah.
Pemilik nama sebenar Asrilia Kurniati itu berkata, menjadi impian terbesarnya berpadu vokal dengan Siti kerana kehebatan vokalnyanya sukar dinafikan.
Namun wanita berusia 22 tahun itu perlu dikenali di Malaysia terlebih dahulu jika mahu cita-citanya dapat direalisasikan.
“Jika diberi peluang untuk berkolaborasi dengan penyanyi di Malaysia, sudah tentu saya mahu memilih Siti kerana kehebatannya sukar dinafikan lagi.
“Dan saya rasanya bukan saya seorang malah mana-mana penyanyi Indonesia pun pasti mengaguminya,” kata pelantun lagu Di Mana Salahnya dan Semakin Rindu Kemarin.

Asrilia menambah, kehadirannya ke negara ini kerana menganggap Malaysia dan Indonesia serumpun dan mahu menggunakan peluang untuk berkongsi bakat yang ada.
Sebagai langkah pertama untuk dikenali di sini, dia merakamkan semula lagu Terima Kasih Cinta nyanyian asal oleh Afghan yang cukup popular di Malaysia.
“Jadi para peminat di sini boleh mendengar lagu Terima Kasih Cinta versi wanita yang saya rakamkan. Tiada istilah mahu menumpang populariti lagu tersebut tetapi saya hanya mahu berkongsi bakat yang ada dan ia satu kelainan apabila penyanyi wanita tampil dengan lagu itu.
“Saya harap Terima Kasih Cinta versi Asrilia dapat diterima di sini dan pada masa yang sama, ini satu permulaan untuk saya dikenali di Malaysia,” katanya.
Bukan itu sahaja, Asrilia akui sebagai artis, dia bersedia terima apa sahaja kritikan atau komen netizen terhadap dirinya.
Dia juga menganggap mana-mana artis yang terlibat dengan gosip atau publisiti murahan bergantung atas penilaian masyarakat atau netizen.
“Bagi saya, publisiti murahan atau tidak, itu bergantung kepada orang lain yang menilainya. Kita sebagai public figure sendiri harus terima jika apa yang kita lakukan ditafsir dengan pelbagai andaian.
“Jika niat kita lakukan sesuatu disalah anggap, itu perkara biasa. Tidak harus cepat melenting atau marah kerana kita yang memilih kerjaya ini.
“Bukan hanya berkongsi bakat, tetapi kita juga harus bersedia fizikal dan mental jika ada perkara yang menyenangkan.
“Pendek kata, publisiti baik atau tidak, hadap sahaja. Itu jalan yang kita pilih, asalkan kita tidak lakukan jenayah,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette

















