KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) hari ini menerima dua buah kapal peronda baharu, masing-masing dinamakan Kapal Perikanan (KP) Manta dan Kapal Perikanan (KP) Layaran, bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang perikanan negara melalui pelaksanaan Program Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan (MCS).
Adnan berkata, penambahan aset maritim ini adalah bukti komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasakan DOF dalam memastikan sumber perikanan negara sentiasa terpelihara.
“Kedua-dua kapal peronda ini akan meningkatkan keberkesanan operasi rondaan dan pengawasan, membanteras aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU fishing), selain berfungsi sebagai aset sokongan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya berlaku kecemasan di laut.
“Dengan adanya KP Manta dan KP Layaran, keupayaan DOF untuk melindungi sumber marin dan menjamin keterjaminan makanan negara dapat dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau menerima dua kapal ini di limbungan kapal Sarawak Slipways Sdn. Bhd., Miri, Sarawak.

Kapal peronda baharu ini dibina dengan kos keseluruhan RM13.88 juta, berukuran 17.95 meter panjang dan 5.20 meter lebar, dilengkapi dua enjin berkuasa tinggi (2 x 1200 kuasa kuda) yang membolehkan kelajuan sehingga 20 knot, serta berupaya menampung seramai lapan kru bagi setiap operasi.
Kedua-dua kapal ini juga memperkenalkan identiti baharu kapal penguatkuasaan DOF yang berwarna putih, merah dan biru, menggantikan warna kelabu sebelum ini.
Perubahan imej ini menzahirkan aspirasi baharu Jabatan dalam memperkukuh aktiviti konservasi dan penguatkuasaan perikanan negara.
KP Manta akan ditempatkan di Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (PKOPP) Langkawi, manakala KP Layaran akan beroperasi dari PKOPP Kuantan.
Kedua-duanya dijadual berlayar ke destinasi masing-masing pada 5 Oktober 2025. – MalaysiaGazette
















