KUANTAN – Kira-kira 20 pemilik kuda sekitar daerah Kuantan dan Pekan berhimpun di Pantai Sepat di sini sebagai solidariti terhadap misi kemanusiaan ke Gaza oleh kumpulan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF).
Kumpulan itu kemudian berarak dengan kuda masing-masing di sepanjang hampir 2 kilometer (km) pesisir pantai itu.
Jurucakap kumpulan itu, Engku Kamalul kholid Engku Kamarudin, 43, berkata, meskipun mereka daripada golongan minoriti dengan jumlah yang kecil namun suara mereka diharap dapat membantu dalam perjuangan menentang penindasan terhadap rakyat di Gaza.

“Kita menyokong penuh satu perjuangan menerusi Sumud Flotilla yang sedang berjalan. Apa juga sebarang bentuk penindasan, kita sekeras-kerasnya menentang dan tidak menyokong apa juga tindak-tanduk yang membatasi hak asasi manusia.
“Jadi, sebab itu petang ini kita berkumpul dan membuat satu hebahan tentang pentingnya kesedaran dalam hubungan sesama manusia dan wujudnya simbol-simbol kebaikan dan kita menolak simbol-simbol kekerasan sesama kita,” katanya ketika ditemui.
Beliau turut berharap agar sukarelawan dalam tahanan Zionis iaitu mereka yang terlibat dalam GSF dibebaskan segera dan Zionis tidak melanggar apa jua hak asasi manusia ke atas mereka.

Sementara itu, Engku Kamalul turut menyeru semua pemilik-pemilik kuda agar mewujudkan satu suasana positif dalam kalangan masyarakat dan sentiasa menghebahkan mengenai pentingnya menghidupkan sunnah berkuda dalam kehidupan.
Perarakan berkuda itu bermula kira-kira 5 petang dari The Saddle Resort berhampiran Pantai Sepat dengan disertai peserta termuda berusia 10 tahun. – MalaysiaGazette
















