PERMATANG PAUH – Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek menyifatkan kepulangan 23 aktivis kemanusiaan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai kejayaan hasil kepimpinan serta usaha diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Fadhlina, perkembangan itu membuktikan kejayaan usaha diplomasi di bawah kepimpinan Anwar yang konsisten menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara.
“Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Anwar) kerana kita telah dimaklumkan bahawa semua aktivis kita akan dibawa pulang dari Istanbul ke Kuala Lumpur.
“Saya fikir ini adalah kejayaan yang besar hubungan diplomasi, diplomatik yang cukup tinggi dan kepimpinan Perdana Menteri yang membolehkan semua aktivis kita ini pulang dengan selamat.
“InsyaAllah kita (kerajaan) bawa mereka pulang dan rancang semula bagaimana kita harus membawa terus mesej dan juga misi-misi kemanusiaan ini ke hadapan khusus untuk terus memberikan sokongan kepada rakyat Gaza,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Fadlina merasmikan Kempen Anti Buli 2025 anjuran Wanita Keadilan Pulau Pinang bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Yayasan Aman, Kubang Semang di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kesemua 23 wira dan wirawati sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla sudah selamat tiba di Istanbul, Türkiye.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua mereka kini akan diberikan pemeriksaan kesihatan, sokongan dan bantuan menyeluruh termasuk aspek psikologi. – MalaysiaGazette
















