KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa di Kementerian Kewangan untuk meneliti pembentangan Belanjawan 2026 yang bakal diumumkan tidak lama lagi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pertemuan dengan pasukan Perbendaharaan itu adalah bagi merencanakan Belanjawan Madani yang akan beliau umumkan pada 10 Oktober ini.
“Hari ini, saya di Kementerian Kewangan bersama pasukan Perbendaharaan menumpukan pada perencanaan untuk Belanjawan Madani Keempat 2026,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook hari ini.
Turut kelihatan dalam gambar yang dikongsikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Menurut laman rasmi Parlimen, Anwar dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 pada Jumaat ini pukul 4 petang. – MalaysiaGazette















