Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Himpunan Satu Dekad Amanah di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) terharu apabila semakin ramai bukan Islam di Eropah membela nasib rakyat Palestin malah ada yang berpakaian bikini untuk menghalang kapal Israel daripada berlabuh.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, lebih menyentuh hatinya apabila puluhan ribu bukan Islam di Eropah turun ke jalanan untuk berdemonstrasi dan sanggup melawan pihak berkuasa demi membela penduduk Gaza.

“Satu tahun lalu, saya bercakap di beberapa tempat, bahawa pembebasan bumi Palestin itu, akhirnya kita lihat sekarang ini, dia datang, ditolong oleh rakyat Eropah.

“Kita tak sangka, demonstrasi mereka puluhan ribu, sanggup lawan dengan pihak polis, sanggup curahkan cat merah di bumi dan badan mereka, mereka katakan inilah pembunuh Gaza.

“Kadang-kala di tepi pantai, pakaian berbikini menghalang kapal Israel daripada berlabuh.

“Saya sendiri tertarik dan pergi ke London untuk bersama mereka menyertai demonstrasi itu, saya nak melihat bagaimana orang-orang bukan Islam membela kemanusiaan ini,” katanya berucap pada Himpunan Satu Dekad Amanah di Stadium Titiwangsa, di sini, malam tadi.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Himpunan Satu Dekad Amanah di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 04 OKTOBER 2025

Menurut Mohamad, tindakan puluhan ribu protestan bukan Islam itu menyebabkan negara-negara Eropah mula mengubah pendirian terhadap negara zionis Israel hingga memutuskan hubungan diplomatik.

“Malu kita lihat keadaan kita, sehingga kerajaan mereka berlakon ataupun tidak mula mengubah pendirian terhadap negara zionis Israel, terutama Ireland, Itali dan Sepanyol.

“Bahkan negara-negara Amerika Latin pula kita lihat, satu demi satu putus hubungan diplomatik dengan Israel, tapi negara Arab masih lagi enggan putus hubungan dengan Israel,” katanya.

Mohamad berkata, sampai bila umat Islam dan negara-negara Arab terus berpeluk tubuh dan enggan membela rakyat Palestin atas dasar kemanusiaan dan bukan soal keagamaan semata-mata.

“Apakah negara Arab dan umat Islam nak tunggu bila (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump kata, jatuhkan Benjamin Netanyahu, baru kita nak bangun untuk melawan Netanyahu.

“Kita lihat banyak negara yang dikatakan merdeka masih di bawah naungan Amerika atau Anglo-Amerika, banyak negara Arab mempunyai pengkalan tentera, bagaimana mereka nak bangun melawan Israel.

“Alhamdulillah, apa pun kita nak sebut pasal Perdana Menteri kita (Datuk Seri Anwar Ibrahim, di antara yang lantang menyuarakan hal kedudukan rakyat Palestin ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad tidak menghalang rakyat untuk turun ke jalanan untuk menukar kerajaan kerana ia dijamin Perlembagaan.

“Prinsip kita, kalau nak menukar kerajaan, biar rakyat, sebab itu bila ada Himpunan Turun Anwar, bagi saya itu tak ada masalah, buatlah, hadirlah sebanyak mana pun.

“Tugas kita mempertahankan Datuk Seri Anwar dan Kerajaan Perpaduan ini dengan hujah dan fakta, ahli Amanah kena kerja kuat untuk memenangkan Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya akan datang.

“Kita pernah dengan keringan kita yang kecil ini, kita menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional pada 2018, ertinya kita bersama rakyat menukar kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast